ROYAL88NEWS Tarik balik, hadkan lesen berdasarkan umur cuma pilihan terakhir'

'Tarik balik, hadkan lesen berdasarkan umur cuma pilihan terakhir' 



Menarik balik atau mengehadkan lesen kepada individu berdasarkan umur mereka seharusnya merupakan pilihan terakhir selepas tahap kecergasan seseorang untuk memandu disahkan secara telus menerusi ujian yang diiktiraf, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi mengulas cadangan mengehadkan pengeluaran lesen memandu Malaysia (LMM) kepada warga emas berusia 70 tahun dan ke atas, Wee berkata ramai pemandu berusia sebegitu mempamerkan kemahiran memandu lebih baik berbanding pemandu lebih muda.

"Satu sudut yang lebih meluas, lebih menyeluruh termasuk keperluan pergerakan dan faktor sosioekonomi lain patut difikirkan, bukan hanya faktor usia," katanya.

Wee berkata keistimewaan LLM diberikan oleh pihak berkuasa pengangkutan jalan sebagai satu akreditasi kepada seseorang yang sudah mempamerkan kebolehan untuk mengendalikan sesebuah kenderaan di atas jalan raya dengan memuaskan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.

"Seksyen 30 akta itu juga menyatakan pemegang lesen boleh menyerahkan lesen mereka di mana-mana pejabat JPJ secara sukarela atas faktor kesihatan yang mungkin boleh membahayakan pengguna jalan raya lain," katanya.

Mengenai laporan yang mencadangkan untuk mengehadkan pengeluaran lesen kenderaan motor (LKM) atau lebih dikenali sebagai "cukai jalan" kepada mereka yang berumur 70 tahun dan ke atas, Wee berkata seorang individu boleh sahaja meminjam kenderaan pemilik lain untuk mengelak peraturan itu.

Wee berkata sebarang perubahan dasar berkaitan LMM dan LKM perlu ditangani secara sistematik, pendekatan berasaskan bukti dan ditangani secara berpandangan jauh.

"Dengan menafikan keperluan seorang pemandu dengan alasan faktor umur mereka atau bukti yang terpencil atau menggunakan anekdot adalah satu diskriminasi," katanya.

Sebelum ini dilaporkan Polis Diraja Malaysia mencadangkan kepada kerajaan supaya mengehadkan pengeluaran LKM kepada warga emas memandangkan faktor kesihatan seseorang warga emas boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.


Comments